BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 9, 2010

Makanan Halal beri Kesan ROHANI, JASMANI


Sabda Rasulullah SAW:"Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap umat islam."(Riwayat Ibnu Abdil-Barr). Sebagaimana kita ketahui, umat islam bukan saja perlu mencari rezeki daripada sumber dan pekerjaan yang dibenarkan dalam islam,malah kita perlu tahu setiap makanan serta minuman yang dimabil itu tidak jatuh di dalam hukum haram. Ini kerana ALLAH SWT menghalalkan sesuatu kerana ia baik untuk manusia dan sebaliknya diharamkan sesuatu kerana ia memudaratkan.


Halal sesuatu makanan dan minuman atau produk itu bergantung kepada sumbernya dan bahan mentah yang digunakan. Malah berdasarkan hukum syarak, cara memprosesnya atau membuatnya juga hendaklah dipastikan ia dikendali dengan cara bersih,suci dan halal. Jika tidak, makanan berkenaan yang pada mulanya bersumberkan bahan mentah yang halal akhirnya boleh 'jatuh' ke dalam kategori makanan yang haram.


Makanan dan minuman halal bukan sekadar menjaga kesihatan fizikal atau jasmani, sebaliknya paling penting ia dapat menjaga kesihatan rohani dan jiwa. Makanan halal akan memberi kesan kebaikan kesihatan jasmani, rohani dan jiwa kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: " Ada seorang yang kusut masai, berdebu dan sentiasa dalam musafir. Namun keadaan makannya haram, pakaiannya haram dan dibesarkan dengan yang haram. Lalu dia mengangkat tangannya sambil berdoa:'Ya Tuhanku, Ya Tuhanku'. Maka, bagaimana orang yang sedemikian itu akan dapat dimakbulkan doanya."(Riwayat Muslim).


Jelas menerusi hadis ini, makanan yang berpunca daripada sumber haram turut memberi kesan kepada kedudukannya di sisi ALLAH SWT. Ia menjauhkan seseorang itu daripada keredaan ALLAH SWT dan menjadi tanda bahawasanya dijauhkan mereka (pemakan harta haram) daripada rahmat dan nikmat ALLAH SWT. ALLAH SWT berfirman:"Dan siapa yang taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang dikurniakan nikmat oleh ALLAH kepada mereka,iaitu para Nabi,Siddiqin dan para syuhada serta para solihin. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat)."(Surah An-Nisaa',69).


Oleh itu,apa juga makanan, minuman atau produk kegunaan umat islam hendaklah dipastikan bukan daripada sumber haram seperti penipuan, mencuri, rasuah, bukan bahan haram, bukan najis, racun dan sebagainya. Firman ALLAH SWT:"Wahai sekalian manusia!Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu."(Surah Al-Baqarah,168)


Demikianlah, Islam memandu hidup manusia supaya sentiasa taat perintah ALLAH SWT dan Rasul-Nya dalam mematuhi perintah terhadap soal makanan dan minuman atau apa jua produk kegunaan umat islam hanya yang halal. Islam adalah agama yang sangat menjaga keselamatan, kesihatan dan kehidupan umatnya melalui penjagaan makanan, minuman dan produk yang halal. Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik, sihat jasmani dan rohani serta mendapat berkat dalam hidup.

0 comments: